PETALING JAYA: Seramai 200 individu menghidap penyakit kronik bakal menerima bantuan rawatan terapi molekul hidrogen melalui Compassionate Care Foundation (CCF) yang sedang berusaha mengumpulkan dana RM1 juta bagi tujuan itu.
Penasihat Kehormat CCF, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata yayasan itu adalah yang pertama seumpamanya di negara bagi membawa faedah rawatan terapi molekul hidrogen kepada penghidap penyakit kronik dan pelbagai masalah kesihatan.
Beliau berkata, dengan sokongan rakan kongsi utama, IRCare Sdn Bhd, golongan kurang bernasib baik terbabit akan diberi rawatan terapi molekul hidrogen Hi-Bliss yang membantu mengubati masalah kesihatan seperti penyakit buah pinggang, hati, osteoarthritis, kencing manis serta penyakit kulit dan luka.
“Sejak pelancaran fasa pertama kempen ‘Love.Hope.Health’ pada Julai tahun lalu, seramai 22 individu kurang bernasib baik yang mengalami penyakit kronik berjaya dibantu.
“Melihat kejayaan itu, CCF berazam mengembangkan lagi perkhidmatan dengan membantu lebih ramai individu tidak mampu menanggung kos perubatan mereka.
“Justeru, CCF melancarkan kempen mengumpul dana RM1 juta bagi membantu 200 pesakit tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan kepercayaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kempen Mengumpul Dana RM1 Juta CCF, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah dan Pengasas Bersama CCF, Daena Chan, berkata pihaknya akan menganjurkan makan malam penghargaan kutipan dana pada 15 November depan.
“Oleh itu, mana-mana individu atau syarikat korporat yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengumpulan dana ini, boleh menghubungi CCF untuk butiran lanjut,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penghidap penyakit kronik tanpa mengira umur, bangsa atau kedudukan sosial yang memenuhi kriteria boleh memohon untuk mendapatkan rawatan terapi molekul hidrogen itu.
“Sasaran CCF ialah membantu individu berpendapatan kurang RM2,500 sebulan, menganggur atau tidak dapat bekerja dan warga emas terbiar yang diluluskan Ahli Lembaga yayasan,” katanya.